PUTRAJAYA, 17 Ogos – Semua saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak 2012 bernilai RM435 juta akan dibatalkan serta-merta, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Beliau memberitahu, operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini.
Katanya, langkah itu dilaksanakan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi pemgendali sistem AES yang tamat pada 31 Ogos ini.
“Kerajaan telah ‘berkorban’ untuk tidak mengutip saman AES ini maka semua saman AES setakat ini yang masih belum dibayar oleh orang ramai telah dibatalkan.
“Jumlah saman adalah sebanyak 3.1 juta. Dengan setiap saman AES adalah RM150, maka semua jumlah adalah RM435 juta,” katanya selepas menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Anthony pada Jun lalu berkata, kementerian akan mengumumkan keputusan mengenai AES dalam satu atau dua bulan selepas perkara itu dibawa ke Kabinet.
Beliau ketika itu berkata, pegawai Kementerian Pengangkutan dan jabatan-jabatan berkaitan akan menyediakan cadangan konkrit dan beliau akan membincangkan opsyen dengan para pegawai tersebut sebelum membawa perkara itu ke Kabinet.
Manakala tiada pembayaran balik akan diberikan kepada mereka yang telah pun membayar saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebelum ini, katanya.
Daripada kesemua 3.76 juta saman melibatkan sistem itu sejak 2012, hanya sebanyak 18 peratus atau melibatkan hampir RM700,000 sahaja saman AES telah dibayar.
“Saya mengambil kesempatan memohon maaf kepada mereka yang telah membayar saman ini. Merekq mungkin rasa tidak adil tetapi dengan semangat Hari Raya Korban yang akan datang, kita kena ‘berkorban’ juga jadi tiada bayaran balik,” katanya selepas menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.