KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa bersedia untuk membantu dalam melaksanakan operasi pembenihan awan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi bin Buang TUDM ketika menjelaskan kepada Air Times News Network.
Menurut Panglima Tentera Udara, operasi pembenihan secara lazimnya akan dikoordinasikan secara bersama dengan Jabatan Meteorologi.
“Operasi pembenihan awan akan menggunakan pesawat pengangkut C-130H yang dilengkapi dengan peralatan khusus”
Beliau turut menambah, Jabatan Meteorologi akan membantu dari segi maklumat cuaca dan pergerakan awan, bagi memastikan operasi pembenihan awan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan Menteri Tenaga, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata beliau telah menghubungi Menteri Pertahanan untuk menggerakkan pesawat tentera untuk melaksanakan operasi pembenihan awan bagi memadamkan kebakaran tanah gambut di Kampung Johan Setia, Jalan Kebun.