Home Semasa Dua pegawai TLDM antara empat ditahan SPRM

Dua pegawai TLDM antara empat ditahan SPRM

by Air Times News Network

KLANG, 14 Ogos – Empat individu termasuk dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam untuk membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu bagi pembelian toner bernilai lebih RM90,000.

Menurut sumber, mereka yang ditahan terdiri daripada pegawai TLDM yang memegang jawatan sebagai Bentara dan Leftenan Komander.

Katanya, selain mereka, turut ditahan seorang pemilik dan juga pengurus syarikat terbabit dalam penjualan toner itu.

“Walaupun dokumen tuntutan bayaran pembelian terbabit dikeluarkan syarikat itu namun peralatan yang disenaraikan tidak dibekalkan mereka kepada Pusat TLDM Pulau Indah, Selangor.

“Antara peralatan toner yang disenaraikan iaitu seperti Black CE270A, Cyan CE271A, Magenta CE273A dan Yellow CE272A,” katanya.

Sumber itu berkata, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap semua suspek berkenaan esok.

Semua suspek ditahan berusia antara 37 hingga 50 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit tetapi tidak mengulas lanjut.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!