LATIHAN tembakan menggunakan senjata ringan seperti raifal mungkin biasa dilihat selain lagi pameran barisan kenderaan tempur atau pesawat udara secara statik dalam pelbagai acara anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Namun, demonstrasi besar-besaran kuasa tembakan pelbagai jenis senjata berat terutama meriam, mortar, pelancar roket, bom dan misil termasuk yang dilancarkan daripada kenderaan tempur, jarang dipamerkan secara terbuka kepada orang awam.
Malah, sebahagian besar pegawai dan anggota tentera sendiri, tidak berpeluang menyaksikan demonstrasi berskala besar kerana latihan sedemikian diadakan di kawasan yang jauh dari penempatan atas faktor keselamatan.
Antara yang ditunggu-tunggu setiap tahun adalah Latihan Kuasa Tembakan (LKT) atau sebelum ini dikenali sebagai Demonstrasi Kuasa Tembakan (DKT) oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) yang diadakan di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini.
Baru-baru ini, TDM sekali lagi menganjurkan LKT dengan peruntukan RM17 juta, sedikit berkurangan daripada bajet tahun lalu, iaitu RM23 juta, namun demonstrasi kira-kira empat jam itu menyerlahkan kehebatan ketumbukan darat ATM itu.
Letupan dan dentuman tanpa henti dipersembahkan kepada tetamu yang hanya dipisahkan dengan jarak kira-kira 20 meter, memaksa semua mereka memakai penutup telinga.
Pada jarak itu, bahang gelombang udara panas yang terhasil daripada tembakan meriam juga dapat dirasai.
Antara yang mencuri tumpuan adalah tembakan kereta kebal PT91M Pendekar, kereta perisai ACV300 Adnan, kenderaan anti kereta kebal ACV300Adnan-Baktar Shikan, selain kenderaan tempur lain termasuk VAMTAC S3, MIFV K200 A1 dan AV8 Gempita.
Turut menarik perhatian apabila dua pesawat Sukhoi SU-30MKM dan empat pesawat BAE Hawk 208 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan bantuan serangan rapat (CAS) dengan mengebom sasaran di darat yang menyebabkan letupan besar.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, LKT antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) mengenai keupayaan pengendalian dan kuasa tembakan senjata serta kenderaan tempur TD.
Katanya, penyertaan KPSM tahun ini membabitkan 164 siswa termasuk 46 penuntut dari luar negara.
“Siswa tempatan membabitkan 79 pegawai TD, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) (19), TUDM (19) dan seorang dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Selain itu, sekumpulan 25 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut dibenarkan menyaksikan LKT ini bagi memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.
Hadir sama pada latihan berkenaan ialah Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Mengulas lanjut, Zulkiple tidak menolak kemungkinan lebih banyak pihak termasuk pasukan keselamatan atau agensi penguatkuasaan lain dibenarkan menyaksikan demonstrasi itu tahun depan, namun menolak cadangan supaya orang awam dijemput menyaksikannya kerana faktor keselamatan.
“Demonstrasi seperti ini memerlukan tahap keselamatan yang amat tinggi kerana membabitkan banyak letupan dan tembakan sebenar di dalam kawasan yang dikawal rapi.
“Jadi kita terpaksa memilih kumpulan tertentu saja bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata, LKT tetap akan diteruskan walaupun ada pihak yang mungkin membangkitkan isu mengenai perbelanjaan besar yang digunakan berikutan latihan sedemikian tidak pernah dianggap sebagai pembaziran.
“Kita tidak nafikan, orang awam mungkin anggap puluhan juta ringgit yang digunakan untuk menampung kos demonstrasi sebagai mahal tapi sebenarnya kita perlu melakukannya kerana itu adalah masa untuk menguji keupayaan dan keberkesanan senjata yang kita miliki.
“Jadi kalau tidak mengadakan demonstrasi seperti ini pun, kita tetap akan gunakan peruntukan besar untuk latihan dan ujian persenjataan. Melalui LKT, kita ambil kesempatan untuk pamerkan keupayaan persenjataan itu kepada pegawai, anggota dan pihak yang berkepentingan sebagai pendedahan,” katanya.
-Harian Metro