TAIPING, 12 Ogos – Sebanyak tujuh rangka anggota tentera udara New Zealand yang disemadikan di Perkuburan Perang Komanwel (CWG), Kamunting dekat sini akan dihantar pulang ke negara asal pada 20 Ogos ini.
Sempena penghantaran semula rangka tentera yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua itu, istiadat penghormatan terakhir diadakan hari ini dan pemindahan kesemua rangka terbabit dari Markas Staf Stesen (MSS) Taiping di sini ke Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.
Ketujuh-tujuh anggota tentera udara New Zealand itu dikebumikan di CWG Kamunting dari tahun 1958 hingga 1960 selepas mereka terkorban semasa Perang Dunia Kedua.
Mereka ialah mendiang Lans Koperal Teriwhero Percy,26, Prebet Robet Malcolm,27, Prebet Bruce Harvey,21, Prebet Toma Feesogo,29, Prebet Brian James,23, Prevet Tu Terangi,23, dan Prebet George Whitelock,27.
Dalam istiadat penghormatan terakhir hari ini, seramai 235 anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan wakil dari Kementerian Kesihatan hadir sebagai simbolik penghormatan kepada anggota tentera New Zealand.
Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar, Ketua Pakar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB, Ipoh, Dr. Mohd. Shafie Othman dan wakil tentera New Zealand, Komander Trevor Leslie.
Upacara tersebut merupakan proses terakhir ekskavasi rangka anggota tentera New Zealand di Perak yang bermula pada 23 Julai hingga hari ini.
Kerja-kerja ekskavasi dilakukan di CWG Kamunting manakala proses analisis forensik di Hospital Taiping dan identiti di MSS Taiping yang dikendalikan oleh 55 petugas ATM, 40 petugas dari agensi kerajaan serta 23 petugas dari New Zealand.
Selain tujuh rangka yang ditanam di CWG Kamunting, sebanyak 16 rangka tentera New Zealand dari CWG Kem Terendak, Melaka dan empat rangka dari CWG, Cheras, Kuala Lumpur akan dibawa pulang 20 Ogos ini.
Tujuh keranda itu ditempatkan sementara di Dewan Wardieburn, Kem Wardieburn, Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada Kerajaan New Zealand dalam satu upacara rasmi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).