KUALA LUMPUR, 9 Ogos –Ini terutamanya dengan melihat kedudukan semasa pertahanan tanah air adalah terkebelakang berbanding negara-negara jiran.
Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Haji Mohamad Sabu berkata aset pertahanan Malaysia pada masa ini agak terkebelakang berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia.
“Sekarang ini, kedudukan tentera laut, udara dan sebagainya dalam kalangan Asia Tenggara, negara kita berada di tempat yang paling bawah. Vietnam jauh ke hadapan, Indonesia nombor satu dan Malaysia sekarang ke bawah.”
Beliau menegaskan bahawa situasi ini amat berbeza dengan kedudukan Malaysia pada tahun 1970-an.
“Malu kita kalau pergi ke peringkat antarabangsa. Tetapi saya akan berusaha menjadikan Malaysia great again (hebat semula), akan menjadi nombor satu semula,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menyatakan perkara tersebut ketika menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Yang Berhormat Datuk Danyal Balagopal Abdullah.
Menteri Pertahanan turut mendedahkan kekangan kewangan yang dihadapi oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dimana TUDM hanya menerima 62% peruntukan dari nilai yang dipohon.
Ini memberikan kesan kepada kerja-kerja selenggaraan TUDM termasuklah keperluan rawatan mandatori Su-30MKM pada jangkahayat 10 tahun.
Memperkasakan TUDM
Sebelum itu, Ahli Parlimen Mersing, Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Latiff bin Ahmad telah meminta Menteri Pertahanan untuk menyatakan apakah tindakan jangka pendek untuk meningkatkan keupayaan pertahanan udara.
Menteri Pertahanan menyatakan bahawa pihak Kementerian Pertahanan Malaysia sedang memberi fokus kepada perancangan keupayaan TUDM termasuk rancangan CAP55 bagi memperkuatkan keupayaan pertahanan udara tanah air.
Menurut beliau, Kementerian Pertahanan akan berusaha memperkukuhkan pertahanan negara dengan aset canggih. Ini termasuklah membincangkan mengenai perolehan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan ‘maritime surveillance aircraft’ (MSA) dalam mengawal keselamatan negara.
Mengenai pemilihan antara MSA dan UAV, beliau menyatakan bahawa kedua-dua aset tersebut diperlukan. Menteri turut menyatakan bahawa kombinasi UAV dan MSA adalah perlu dalam menjaga perairan negara seperti di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Menyentuh program Multi-Role Combat Aircraft, beliau menyatakan bahawa Kementerian Pertahanan akan melihat program tersebut.
“Inilah yang kita lihat secara serius untuk melihat MRCA ini dapat diperlengkapkan dari masa ke semasa,” jelas Menteri Pertahanan.
Tambah beliau, ini dengan melihat Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang sudah tentu memerlukan aset pertahanan yang mencukupi. Pada masa yang sama, Menteri Pertahanan menyatakan bahawa pihak beliau akan terus berbincang dengan ATM mengenai pemerkasaan pertahanan negara.
CAP55 merupakan rancangan transformasi jangka panjang TUDM yang bermatlamat untuk memperkasakan kekuatan pertahanan udara.