KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang akan ditutup dilihat sebagai satu kerugian kepada kerajaan dan negara dalam usaha membendung gejala radikal dan ekstremis.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kegiatan ekstremis menerusi kumpulan pelampau yang kejam semakin menggugat keselamatan global terutamanya melibatkan dunia Islam.
“Kerjasama dan penyelarasan antara negara amat penting kerana masalah pengganas disifatkan amat meluas dan tanpa sempadan, katanya.
“KSCIP ditubuhkan untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara strategik bagi memerangi ekstremis dan aktiviti keganasan kejam global bersama-sama Arab Saudi.
“Penubuhan pusat itu membolehkan negara berada di barisan hadapan bagi membanteras naratif dan fahaman yang mendorong kepada berlakunya gejala ekstremis. Sumbangan Malaysia terhadap keamanan dan keselamatan global tentunya sangat tinggi dan tidak ternilai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan akan menghentikan operasi KSCIP dan pejabat sementara di Jalan Ampang juga ditutup serta-merta.
Fungsi KSCIP itu juga akan diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.