KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Kementerian Pertahanan (MINDEF) merancang membuka premis Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) di bangunan kementerian itu di sini, pada masa depan.
Menterinya, Mohamad Sabu, berkata premis khusus bagi anggota tentera itu belum wujud di MINDEF walaupun sudah memiliki 85 cawangan di seluruh Malaysia.
“Kita lihat pelbagai usaha yang dilaksanakan di bawah PERNAMA, berjaya kerana pemimpinnya yakin dengan apa yang mereka buat.
“Tapi, ketika ini belum ada premis di MINDEF. Kita akan fikirkan usaha supaya ia dapat dibuka di bangunan kementerian satu hari nanti,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam PERNAMA 35 Tahun Cemerlang di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengurus Besar PERNAMA, Mohd Zaini Khalid.
Ketika ini, ada 85 premis perbadanan itu di seluruh negara, terutama di dalam kem tentera.
Premis itu merangkumi anjung selera, kedai runcit, dobi, jahitan, gunting rambut dan alat tulis, dengan menawarkan produk pada harga 35 hingga 45 peratus lebih murah bagi membantu menangani peningkatan kos sara hidup anggota tentera dan veteran.
Mohamad turut melahirkan keyakinan perbadanan itu mampu mencatatkan keuntungan lebih tinggi pada tahun depan berbanding 2017.
“Saya lihat keuntungan pada 2017 agak merosot. Kenapa? GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan)? Sekarang kita buang GST, lihat tahun depan akan catat keuntungan lebih baik,” katanya.