Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, daripada menghabiskan duit untuk bertanding, adalah lebih baik untuk kedua-dua parti itu memberi tumpuan kepada kawasan diwakili agar dapat menjadi pembangkang yang konstruktif.

“Memanglah ini negara demokrasi di mana sesiapa pun boleh bertanding tetapi kepada BN dan Pas, baik tak payah bertandinglah dan biarkan kedua-dua kerusi itu kekal diwakili Pakatan Harapan (PH).

“Lagi pula majoriti kemenangan calon Pakatan Harapan di kedua-dua kawasan itu agak besar sehingga mencecah 35,000 dan lebih 19,000 di kedua-dua kerusi berkenaan. Jadi mana mungkin rakyat di situ akan ‘bertukar’ secara tiba-tiba untuk menyokong BN dan Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Puncak Kecemerlangan 2018 di Dewan Sri Tanjung Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di sini, hari ini.

Semalam calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menewaskan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy dengan majoriti 5,843 undi dalam keadaan peratusan mengundi berada di paras yang cukup rendah iaitu tidak sampai 50 peratus.

PRK DUN Balakong akan diadakan pada 8 September depan berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia yang masih belum ditentukan tarikhnya akan diadakan berikutan kematian Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, Khamis lepas akibat kanser usus.