KUALA LUMPUR, 3 Ogos -Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melantik Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 20 Ogos 2018.
Menurut Khazanah, Shahril Ridza, 48, yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah memegang jawatan tersebut sejak 16 April 2013.
Beliau menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar, yang bersama lembaga pengarah terdahulu yang meletak jawatan beramai-ramai pada 26 Julai lalu.
Lembaga pengarah itu kemudiannya segera digantikan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi baru dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai salah seorang pengarahnya.
Pengarah lain termasuk anggota Majlis Penasihat Kerajaan dan bekas presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas timbalan gabenor Bank Negara Sukhdave Singh; dan bekas eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Goh Ching Yin.
Khazanah dalam kenyataannya, turut mengalu-alukan lembaga baru itu, dan mengucapkan terima kasih kepada lembaga sebelumnya dan Azman atas perkhidmatan dan sumbangan mereka kepada Khazanah dan negara.