Home Semasa ADUN Seri Setia meninggal dunia

ADUN Seri Setia meninggal dunia

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 2 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada jam 6.28 petang ini.

Berita kematian Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan Pembangunan Modal Insan itu disahkan anak beliau, Atiqah.

Menurutnya, jenazah bapanya itu akan dibawa pulang ke rumah mereka di Desa Pinggiran Putra, Kajang, selepas Maghrib ini.

Setiausaha Kanan Allahyarham, Zafrullah Aris berkata, Shaharuddin, 56, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya.

“Jenazah akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis selepas disembahyang di masjid kampung itu,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah, dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga Shaharuddin.

Pada Isnin, sebuah portal berita melaporkan Shaharuddin kini sedang tenat dan menderita sakit akibat kanser kolon.

Bagaimanapun, pihak keluarga menafikan laporan terbabit dan memaklumkan Shaharuddin sedang berehat selepas menerima rawatan selain meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!