Home Pertahanan dan Keselamatan Warga Rejimen Gerak Khas Perlu Bersatu dan Proaktif – Tunku Mahkota johor

Warga Rejimen Gerak Khas Perlu Bersatu dan Proaktif – Tunku Mahkota johor

by Nurulhuda

MERSING, 1 Ogos – Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan anggota Rejimen Gerak Khas agar terus berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan kepada raja dan negara dalam situasi perubahan aliran politik negara.

Baginda bertitah prinsip itu harus menjadi ikatan yang kuat kepada setiap anggota tanpa boleh disangkal.

“Tanamkan semangat setia kawan yang tinggi dalam pasukan serta jaga hubungan silaturrahim yang muhibah antara satu sama lain agar ‘serumpun bak serai sesusun bak serih’,” titah baginda pada perbarisan sambutan hari ulang tahun Rejimen Gerak Khas ke-53 di Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, di sini.

Mengambil kira pelbagai dimensi ancaman yang kompleks kini, baginda berharap pemimpin dan anggota rejimen itu bersatu dan memberi perhatian yang lebih khususnya kepada tahap kesiapsiagaan.

Tunku Ismail bertitah mereka perlu sentiasa proaktif dan terkini agar membentuk pasukan yang dinamik dalam dunia siber yang serba canggih.

“Pembangunan sumber manusia dan kecanggihan peralatan serta ilmu ketenteraan yang pelbagai juga perlu dimiliki bagi mendokong aspirasi angkatan tentera,” titah Tunku Ismail lagi.

Tunku Mahkota Johor itu bertitah demikian pada Majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-53 di Kem Iskandar, Mersing hari ini.

Baginda berkenan berangkat sebagai wakil rasmi DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang juga Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK).

Berangkat sama, YAM Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan 21 GGK kerana membantu meningkatkan kemahiran ketenteraan serta latihan kepada Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

“Selain ilmu ketenteraan, setiap anggota juga didedahkan dengan semangat juang dan disiplin untuk menjadi sebuah pasukan elit yang mantap,” titah Baginda.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!