Home SemasaGlobal Tiga korban gempa bumi di Lombok

Tiga korban gempa bumi di Lombok

by Nurulhuda

JAKARTA, 29 Jul – Sekurang-kurangnya tiga mati selepas gempa bumi bermagnitud 6.4 melanda Pulau Lombok di Indonesia, kata pihak berkuasa.

Gempa bumi itu, yang berpusat pada kedalaman tujuh kilometer, berlaku pada 6.47 pagi (waktu tempatan), lapor Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Lombok, pulau di tenggara Indonesia terkenal sebagai destinasi pelancongan popular, dan terletak kira-kira 100 kilometer (km) di timur Bali.

Gempa itu melanda pada 50 km di timur laut bandar utama Lombok iaitu Mataram, dan jauh dari lokasi tumpuan pelancong, demikian lapor USGS.

“Seorang mati di Lombok Timur dan dua lagi mati di Lombok Utara,” kata jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho, menerusi satu kenyataan media.

Tiada maklumat berhubung bagaimana mangsa meninggal dunia.

Sekurang-kurangnya 12 orang lagi cedera akibat bencana berkenaan, dan sebuah rumah musnah teruk di Lombok Utara.

Pihak berkuasa pulau itu sudah menutup laluan pendakian ke Gunung Rinjani, untuk sementara waktu, berikutan bimbang ancaman tanah runtuh, kata Nugroho.

Sementara itu, jurucakap agensi geofizik dan meteorologi Indonesia, Hary Tirto Djatmiko berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Bagaimanapun, 40 gegaran susulan direkodkan dengan penduduk berhampiran dengan kawasan di landa gempa merasai gegaran kuat.

Seorang penduduk di Lombok Utara dikenali sebagai Zulkifli berkata, gegaran amat kuat sehinggakan orang ramai panik.

“Kami semua berlari ke luar rumah. Semua jiran saya berlari keluar rumah dan bekalan elektrik secara tiba-tiba terputus,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!