PUTRAJAYA, 29 Jul – Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2018 yang akan diadakan Selasa ini akan menzahirkan penghargaan kepada jasa-jasa perwira tanah air yang telah terkorban untuk mempertahankan ibu pertiwi.
Antaranya adalah dengan mengenang jasa perwira-perwira negara yang terlibat dalam ‘Operasi Iblis’ yang pernah dilancarkan oleh Markas Briged Kedua Infatri Malaysia pada 1971, menerusi satu persembahan pantomim.
Operasi berkenaan dilaksanakan berikutan kehadiran pengganas di kawasan Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak pada 31 Mei 1971.
Tujuan operasi tersebut adalah untuk mencari dan memusnahkan Unit Penggempur Ke-5 Pasukan Gerakan Komunis (PGK) yang beroperasi merangkumi kawasan Bukit Berapit, Air Kala, Hutan Simpan Kinta dan Slim River, Perak.
Sementara itu, raptai penuh istiadat berkenaan berjalan lancar di Dataran Pahlawan, di sini hari ini.
Raptai istiadat perbarisan hari ini adalah gabungan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu perbarisan statik tanpa senjata diketuai oleh Leftenan Kolonel Samhasri Samah.
Perbarisan itu terdiri daripada enam detasmen dengan kekuatan seramai 46 pegawai dan 823 anggota lain-lain pangkat.
Hari Pahlawan disambut pada setiap 31 Julai bagi memperingati perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran dan kedaulatan negara.
Jurucakap ATM ketika ditemui berkata kira-kira 1,500 tetamu dijangka hadir pada sambutan tahun ini.