PUTRAJAYA, 28 Jul – Malaysia kekal komited dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara pihak ketiga terhadap proses damai di selatan Filipina untuk keselamatan dan kestabilan yang lebih baik di negara berkenaan serta rantau ini.
Kementerian Luar dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan, Malaysia juga akan terus membantu dalam program pembangunan kapasiti untuk masyarakat terbabit dalam menyediakan mereka ke arah pembentukan entiti politik Bangsamoro.
Katanya, Malaysia mengucapkan tahniah kepada kerajaan Filipina berhubung langkah menguatkuasakan Undang-Undang Organik untuk Wilayah Autonomi Bangsamoro dalam masyarakat Islam di Mindanao pada 26 Julai lalu.
“Penguatkuasaan undang-undang berkenaan menandakan sejarah penting bagi Filipina.
“Dengan penguatkuasaan undang-undang ini (Undang-Undang Organik Bangsamoro), Malaysia sangat percaya selatan Filipina akan mencapai keamanan berkekalan dan melihat kepada peluang untuk bekerjasama dalam membangunkan Wilayah Autonomi Bangsamoro.
“Justeru, Malaysia melahirkan harapan kejayaan dan kemakmuran kepada rakyat Filipina di bawah pimpinan Presiden Rodrigo Duterte,” katanya.
Khamis lalu, Duterte meluluskan undang-undang yang dinantikan sekian lama itu, yang membenarkan minoriti Islam di selatan negara itu melangkah ke arah pemerintahan sendiri pada 2022.
Ia dilihat sebagai usaha menangani ekstremisme dan menghapuskan konflik pemisah selama setengah abad.
Lampu hijau itu adalah kemuncak perjanjian damai yang panjang dan tidak kukuh dengan pemisah, tempoh yang menyaksikan militan dikaitkan dengan Daesh meluaskan pengaruh, paling menonjol dalam pencerobohan mereka ke atas Marawi tahun lalu.