Home PolitikPakatan Harapan PH harus menang besar di Sungai Kandis – Syed Saddiq

PH harus menang besar di Sungai Kandis – Syed Saddiq

by Nurulhuda

KLANG, 27 Jul – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman berkata Pakatan Harapan (PH) perlu menang besar pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos ini demi meneruskan kesinambungan agenda pembangunan negara, khususnya di Selangor.

Beliau berkata sekiranya PH tidak menang besar, ia memberi isyarat bahawa Umno dan PAS akan bergabung menentang PH pada pilihan raya umum akan datang.

“Keputusan PRK ini akan menjadi keputusan sangat unik kerana PAS dan Umno sedang ‘test market’ (menguji situasi semasa) di mana mereka tidak mahu adakan pertandingan 3 penjuru.

“Kalau kita (PH) tidak berjaya menang besar, besar kemungkinan ini dijadikan isyarat bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung berentap dengan PH dalam PRU akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program “Kenduri Rakyat Nasi Ambeng” di Masjid Ar-Rahimin, Kampung Telok Menegon, di sini malam tadi.

Syed Saddiq yang juga menteri belia dan sukan berkata PRK itu akan menjadi garis ukur untuk melihat kerajaan sedia ada meneruskan agenda pembangunan di negara ini, khususnya di Selangor.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR DUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

PRK DUN Sungai Kandis adalah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada PRK 4 Ogos nanti, Mohd Zawawi ditentang calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!