SHAH ALAM, 26 Jul – Tindakan calon Barisan Nasional (BN) menyerang peribadi calon PKR secara berterusan dilihat sebagai taktik lapuk parti itu yang tidak lagi sesuai pada zaman sekarang.
Penganalisis politik berpendapat, keadaan itu menunjukkan BN masih dikuasai pemikiran lama dan tidak belajar daripada kesilapan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagi Prof Madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tindakan calon BN Datuk Lokman Noor Adam itu menyebabkan rakyat bertambah benci dengan BN.
“Lokman lupa menjelang PRU-14 kepimpinan UMNO Pusat dan Selangor menyerang Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada pelbagai sudut berhubung isu air, sampah dan denggi, namun akhirnya PKR semakin kuat dan BN hanya tinggal empat kerusi DUN di Selangor.
“Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis minggu depan bukan mudah diperbodohkan, mereka tahu membezakan emas dan permata.
“Sepatutnya BN membawa agenda lebih besar untuk kesejahteraan kehidupan rakyat, fokus transformasi dan bukan menyemarakkan kebencian rakyat terhadap lawan.
“Politik zaman lampau tidak harus disemarakkan lagi dan sekarang masa melangkah ke era baharu,” katanya kepada NSTP, hari ini.
Malam tadi, Lokman dilaporkan mempersoalkan pendirian calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni terhadap keputusan Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya memanggil tarian gelek Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) untuk mengutip derma Tabung Harapan Negara.
Beliau juga mempersoalkan kemampuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH menyanggah Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan timbalannya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).
Jika tidak mampu, Lokman mahu rakyat menyerahkan tugas itu kepada pembangkang dengan mengundi BN, dalam PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Semalam, Lokman turut mempersoalkan pemilihan calon berlatarbelakangkan agama pada PRK berkenaan yang didakwanya untuk meredakan kemarahan Melayu dan Islam terhadap PH.
Sebelum ini beliau turut mempersendakan isu tempatan seperti sampah, longkang dan denggi dibangkitkan Mohd Zawawi.