SHAH ALAM, 26 Jul – Pertimbangan hanya nama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengisi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bukan muktamad kerana ia harus berdasarkan undian semua ahli parlimen.
Bekas anggota PAC, Tony Pua Kiam Wee berkata ini kerana ada kemungkinan mana-mana ahli parlimen pembangkang lain yang berminat akan muncul untuk menjadi antara calon bagi mengisi jawatan tersebut.
“Saya tidak tahu siapa akan dilantik (menjadi pengerusi PAC) tapi memang ia harus datang daripada pihak pembangkang untuk beri semak dan imbang kepada kerajaan sekarang.
“Kalau mungkin ada (ahli parlimen pembangkang lain) yang berminat, kita tunggu dan lihat sajalah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM1 juta oleh lebih 200 syarikat perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang kepada Tabung Harapan Malaysia. di sini, malam tadi.
Pua, yang juga Ahli Parlimen Damansara, berkata kerajaan PH akan menerima sesiapa sahaja dari pihak pembangkang untuk mengisi jawatan berkenaan.
Media hari ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan hanya nama Ahmad Zahid sahaja yang dipertimbangkan untuk dipilih sebagai Pengerusi PAC.
Namun, katanya, buat masa ini keputusan itu adalah di tangan Ahmad Zahid sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau tidak. – Bernama