SEOUL, 25 Jul – Kim Jong-un mahu anggota tentera Korea Utara diberi bekalan makanan yang lebih berkualiti, selepas seorang askar negara itu yang berpaling tadah tahun lalu, mendedahkan mengenai masalah pemakanan yang mereka hadapi.
Menurut agensi berita tempatan, KCNA, Jong-un berkata demikian ketika melawat kilang bekalan makanan tentera.
“Kilang ini perlu mengeluarkan bekalan makanan yang lebih enak dan berkhasiat, kerana secara tidak langsung ia membantu meningkatkan kualiti pemakanan kepada anggota tentera,” lapor KCNA.
Malah, Jong-un dilaporkan mahu pegawai dan pekerja kilang itu sentiasa berusaha mempertingkat pelan pengeluaran pada semua peringkat, sejajar dengan hasrat murni mendiang bapanya, Kim Jong-il, yang tidak menyembunyikan sebarang rahsia dari pihak tentera.
“Pastikan mereka sentiasa merasai kasih sayangnya (Kim Jong-il),” katanya.
KCNA melaporkan, sesi lawatan ke kilang berkenaan adalah antara siri pemeriksaan yang dilakukan oleh Jong-un, termasuk ke beberapa kemudahan industri dan zon ekonomi khas berhampiran sempadan China.
Ia susulan transformasi yang dimulakan sejak April lalu, menyaksikan perubahan tumpuan pemimpin Korea Utara itu daripada senjata nuklear kepada ekonomi.