Eksesais Pitch Black bermula sebagai latihan antara unit Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) pada tahun 1981. Penyertaan latihan ini telah diperluaskan ke peringkat antarabangsa mulai tahun 1990 dengan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) sebagai peserta antarabangsa yang pertama ke latihan tersebut.
Semenjak itu, Eksesais Pitch Black mula menerima kehadiran pasukan tentera udara pelbagai negara.
Kali pertama dan terakhir TUDM menyertai latihan ini adalah pada tahun 2008. Walaupun begitu, kekangan kewangan telah menjadi penghalang utama untuk TUDM menyertai latihan tersebut.
“Pada tahun 2017, kita telah mempunyai kapasiti untuk menghadiri latihan kali ini dengan peruntukan kewangan yang telah ditetapkan pada tahun lepas,” jelas Panglima Operasi TUDM, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib.
TUDM telah memulakan perancangan sejak awal 2017 bagi menyertai Pitch Black 2018. Segala persiapan telah dilakukan dan berjalan dengan lancar.
Eksesais yang dilaksanakan secara dwitahunan ini meliputi skala latihan berspektrum penuh yang menampilkan pelbagai ancaman realistik dan simulasi.
Persekitaran ruang pertempuran moden memberikan peluang untuk menguji dan meningkatkan daya intergrasi serta mempertingkatkan persepaduaan diantara angkatan menggunakan salah satu kawasan ruang latihan udara terbesar di dunia iaitu Kawasan Latihan Bradshaw dan Lapangan Senjata Udara Delamere.
Latihan ini biasanya disertai seramai 2500 peserta dan 138 pesawat dari seluruh pelusuk dunia termasuk peserta dari Australia, Kanada, Perancis (New Caledonia, Jerman, Indonesia, Malaysia, Belanda, New Zealand, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.
TUDM dan Pitch Black 2018
Penyertaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam Eksesais Pitch Black 2018 dilihat sebagai salah satu bukti keupayaan TUDM untuk mengatur gerak aset udara mereka. Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Operasi TUDM, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib bin Datuk Haji Ab Wahab kepada pemberita selesai Majlis Penghantaran Peserta Eksesais Pitch Black 2018 di Pangkalan Udara Butterworth semalam.
“Kita berharap latihan ini dapat membuktikan rakyat Malaysia bahawa TUDM berupaya untuk berada dalam operasi yang melibatkan pengoperasian berskala besar atau Large Force Employment (LFE),”
“Disamping itu juga, penyertaan latihan ini dapat menjadi bukti kepada keupayaan TUDM untuk long range deployment (Atur Gerak Jarak Jauh),” kata Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib.
Latihan kali ini menyaksikan seramai 118 orang anggota TUDM yang terdiri daripada 40 orang pegawai dan 78 orang anggota lain-lain pangkat terlibat dalam latihan antarabangsa berskala besar di Australia. Selain daripada itu, TUDM turut menghantar 5 buah F/A-18D dari No. 18 Skuadron dan sebuah pesawat A-400M dari No. 22 Skuadron.
Eks Pitch Black 2018 menyaksikan keupayaan pesawat pengangkut taktikal sederhana TUDM, A400M untuk melaksanakan misi sebagai pesawat tanker di udara. Sebelum ini, peranan pesawat tanker digalas oleh KC-130H dan pesawat tersebut pernah menyertai Eks Pitch Black 2008.
Latihan pengisian minyak di udara (air-to-air refueling) giat dijalankan oleh No.18 Skuadron dan No. 22 Skuadron semenjak beberapa bulan lalu sebagai persiapan khusus TUDM untuk menyertai Pitch Black 2018.
Kepentingan penyertaan TUDM dalam latihan sebegini
Penglibatan TUDM dalam eksesais berskala besar ini secara tidak langsung dapat memberikan pengetahuan baru dari segi perancangan dan pelaksanaan eksesais yang penuh mencabar ini.
Pelbagai pengalaman dan pengajaran yang mampu dicapai melalui penglibatan di dalam pelbagai situasi pesawat pejuang yang melaksanakan peranan “air to air and air to ground roles” seperti Fighter Sweep, Screen, Escort, Strike, Close Air Support dan lain-lain peranan.
“Paling mustahak, anak-anak kapal dan juruteknik yang terlibat dalam latihan ini dapat menimba ilmu dari rakan-rakan mereka di negara asing terutamanya dari angkatan udara yang lebih besar,” ujar Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib.
Selain daripada itu, latihan sebegini mampu untuk meningkatkan daya saling operasi (interoperability) di antara angkatan udara di rantau dan luar rantau dengan lebih luas.
Eks Pitch Black 2018 mampu untuk menjadi platform kepada peserta TUDM untuk meningkatkan lagi perhubungan di kalangan juruterbang dan ground crew TUDM dengan anggota tentera udara negara-negara peserta.
Pada masa yang sama, latihan sebegini dapat memberikan peluang bertukar-tukar pendapat dan pengalaman antara negara peserta, seterusnya menyumbang ke arah confident building.
Tambahan pula, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Abdul Mutalib menyatakan kebanyakan peserta yang telah menyertai Eks Pitch Black 2008 lalu kini bertugas di bahagian lain dan juga ada yang telah dinaikkan pangkat.
Menurut beliau, Eks Pitch Black 2018 dapat mengasah kemahiran dan keupayaan anggota TUDM disamping memperkukuhkan tahap kesiagaan dan keberkesanan operasi TUDM berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ditimba dari latihan tersebut.
Dari segi diplomasi pertahanan, penyertaan dalam Eksesais Pitch Black ini mengiktiraf hubungan baik negara Australia dengan negara-negara lain yang menyertainya. Dengan menempatkan nilai yang sangat tinggi terhadap keselamatan serantau, latihan sebegini dapat memupuk hubungan yang lebih dekat di seluruh negara rantau Asia Pasifik
Impak Pitch Black 2018 kepada peserta
Menurut Mejar Kamal Jufri bin Kamalrulzaman, 34, latihan sebegini adalah penting bagi beliau dan warga TUDM yang menyertai Pitch Black 2018 kerana mereka boleh melihat sejauh mana pencapaian kemahiran mereka dan juga menimba pengetahuan yang baharu.
Sepanjang 16 tahun perkhidmatan dalam TUDM, Mejar Kamal pernah menyertai Eks Pitch Black pada tahun 2008 sebagai kru pesawat tanker dan penyertaan beliau buat kali kedua pada tahun ini adalah sebagai kru F/A-18D Hornet.
“Saya berasa amat bangga kerana dapat menyertai latihan ini,” katanya.
“Dari segi latihan, mungkin kelihatan serupa. Tetapi, latihan kali ini merupakan latihan berskala besar dan melibatkan pelbagai negara,” ujar Mejar Kamal.