Home Semasa Janji jadikan TVET pilihan utama pelajar dalam tempoh lima tahun – Dr Maszlee

Janji jadikan TVET pilihan utama pelajar dalam tempoh lima tahun – Dr Maszlee

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 24 Jul – Kementerian Pendidikan akan berusaha ke arah menjadikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berjanji mencapai matlamat tersebut dalam tempoh lima tahun, dan berharap ini berjaya melalui kerjasama dengan pemain industri dan pakar TVET.

Beliau berkata, TVET adalah antara elemen yang perlu dan penting dalam membentuk asas melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi serta mengukuhkan potensi negara bagi pertumbuhan masa depan.

“TVET memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat terhadap pembangunan yang seimbang, mengurangkan kemiskinan serta ke arah kemakmuran ekonomi.

“Kemahiran TVET tidak lagi dilihat sebagai pengkhususan kelas dua,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam sempena berlangsungnya Forum Pakar TVET Asia (ATEF) 2018 di sini hari ini.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai kira-kira 28 peratus pekerja mahir dan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan tersebut kepada 35 peratus menjelang 2020, katanya.

Maszlee berkata, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi adalah sangat penting bagi membantu Malaysia melonjak ke arah aktiviti nilai tambah lebih tinggi dan pengetahuan intensif dalam kalangan negara maju.

“Kerjasama antara pihak swasta dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan membantu menaikkan kualiti graduan TVET.

“Malah, UTHM telah membuktikan TVET bukan hanya terpakai untuk pendidikan lebih rendah, sebaliknya diterapkan dalam program PhD melalui sistem Dwi-latihan Nasional dengan kerjasama Universiti Bremen Jerman,” katanya.

Mengenai forum dua hari itu bermula hari ini, Maszlee menggesa 73 pakar tempatan dan asing untuk menangani beberapa isu dan perubahan global yang mempengaruhi perkembangan TVET.

Isu-isu itu antara lain adalah untuk mengukuhkan tadbir urus TVET untuk pengurusan lebih baik bagi pihak swasta dan awam, menggalak dan memperluaskan kecekapan kos serta meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan bidang berkenaan.

“Saya percaya, jika semua isu ini dapat ditangani dengan betul, TVET akan menjadi program pilihan  kepada khalayak,” katanya.

Pada majlis itu, Maszlee turut menyaksikan sesi menandatangani 12 memorandum persefahaman dengan pemain industri tempatan dan asing bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa mengenai TVET.

Bertemakan ‘Pelaksanaan Menyeluruh TVET Untuk Revolusi Industri 4.0’, ATEF 2018 menjadi platform untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan TVET dalam pendidikan tinggi. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!