SIBU, 22 Jul – Sarawak sedang mencari peluang untuk mengembangkan platform aplikasi mudah alih e-Wallet yang
dilaksanakan kerajaan Sarawak ke Indonesia.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini akan membolehkan perniagaan dijalankan secara serantau.
“Pada masa ini, kami (Sarawak) bekerjasama dengan Singapura yang mempunyai aplikasi pembayaran mudah alih mereka sendiri. Sudah tentu, kami mencari peluang ke Indonesia dan di sana (Indonesia) mereka mempunyai aplikasi pembayaran yang dikenali sebagai ‘Go-Jek.’
“Dengan mempunyai rangkaian ini, perniagaan anda akan berada di serantau,” jelasnya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Junior Chamber International (JCI) Malaysia 2018 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Katanya, aplikasi Sarawak Pay (e-Wallet) yang dilaksanakan kerajaan Sarawak adalah cara baharu untuk menjalankan perniagaan tanpa menggunakan cek atau kad kredit untuk pembayaran.
“Sebaik sahaja anda mempunyai pembayaran mudah, ia akan membantu aliran tunai anda kerana ketika anda menjual produk, anda akan mendapat pembayaran dengan segera melalui pembayaran mudah alih. Malah, di kedai kopi, anda hanya memerlukan kod telefon bimbit dan QR (respons cepat) untuk menyelesaikan segala-galanya. Itulah dunia moden menjalankan perniagaan,” ujarnya.
Sidang Kemuncak Perniagaan (Business Summit) JCI Malaysia 2018 yang diadakan di Sibu dari 20 hingga 22 Julai dihadiri seramai kira-kira 200 perwakilan dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura, Hong Kong, Thailand, Kemboja dan Taiwan.
Sidang kemuncak yang bertemakan ‘Rising Above Financial Turbulence’ (RAFT) akan menampilkan penceramah profesional, usahawan dan pemimpin masyarakat.
Sementara itu, Presiden Kebangsaan JCI Malaysia 2018 Kelvin Chew percaya para perwakilan akan dapat mempromosi perniagaan dan rangkaian mereka dengan membawa kembali lebih banyak hubungan perniagaan dan idea perniagaan baharu melalui sidang kemuncak itu.
“Kami mempunyai delegasi dan sokongan dari Malaysia serta negara-negara lain seperti Taiwan, Filipina, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Kemboja dan Thailand. Sidang kemuncak ini membolehkan kumpulan orang muda seperti anda dari negara-negara yang berbeza bertemu dan berkongsi idea perniagaan. Kami menawarkan pengalaman sidang kemuncak holistik dengan menangani isu dan peluang semasa yang memberi kesan kepada landskap perniagaan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Menurut Chew, ia juga akan mengadakan perbincangan panel yang menganalisis pandangan pasaran serta trend, dengan matlamat utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Pada sidang kemuncak ini, anda boleh mengambil bahagian dalam seminar, forum, bengkel mengenai pelbagai topik penting,” ujarnya.