SEBERANG PERAK, 18 Jul – Tentera Darat melalui 10 Briged (Para) hari ini telah melaksanakan latihan penerjunan sempena Eksesais Gerak Pantas siri 24/2018 yang bermula pada 18 hingga 21 Jul 2018 dari Zon Gugur di Seberang Perak hingga ke Kampung Gajah.
Eksesais ini adalah latihan medan dwi tahunan bagi ketumbukan 10 Briged (Para). Latihan ini berkonsepkan aturgerak secara penerjunan paracut di belakang kawasan pihak musuh di Zon Gugur Seberang Perak seterusnya melaksanakan operasi ofensif bagi membersihkan ancaman musuh serta menawan beberapa kawasan penting sepanjang laluan Kampung Gajah ke Ipoh.
Eksesais pada kali ini dilaksanakan secara bersama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pihak US Pacific Air Force (PACAF) yang sedang melaksanakan Eksesais Cope Taufan 2018 (CT18) yang bermula 14 hingga 20 Julai 2018.
Ia melibatkan penerjunan berkuatan 350 orang yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 17 RAMD (Para), Lt Kol Anwar Zamani bin Jusop dan turut disertai oleh Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim. Penerjunan pada hari ini menggunakan empat pesawat TUDM iaitu dua kali C130 dan dua kali CN235 serta C130 PACAF.
Turut hadir Raja Muda Selangor, Leftenan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) Lt Jen Datuk Azizan bin Md Delin, Panglima 2 Divisyen Mej Jeneral Dato’ Ramli bin Jaafar dan Panglima 2 Briged, Brig Jen Datuk Mohd Nizam bin Hj Jaffar.
Latihan ini adalah untuk menguji keupayaan tempur Para Batalion Group Bersama-sama dengan pasukan afilasi yang membantu serta menilai aspek perancangan dan persiapan staf di peringkat batalion dan briged.
Disamping itu juga, ia adalah kemuncak dalam proses menguji aplikasi ilmu dan kemahiran ketenteraan serta taktik peperangan dan juga kekuatan fizikal serta mental dari individu hinggalah ke kumpulan yang lebih besar.