Home SemasaGlobal Wanita Turki dituduh bantu Hamas dibebas

Wanita Turki dituduh bantu Hamas dibebas

by Noor Sheila Amin

BAITULMAQDIS, 17 Jul – Israel membebaskan seorang wanita Turki yang ditahan ketika melawat menggunakan visa pelancong dan dituduh membantu kumpulan Hamas Palestin, dalam kes yang menaikkan kemarahan Ankara, kata peguamnya semalam.

Turki mengancam tindakan balas selepas penahanan Ebru Ozkan bulan lalu.

Bekas sekutu itu sekian lama bertelagah berhubung dasar Israel terhadap status Palestin dan Baitulmaqdis.

Peguam Ozkan, Omar Khamaisi berkata, wanita itu terbang ke Istanbul kelmarin, seminggu selepas sebuah mahkamah Israel mendakwanya.

Khamaisi berkata, satu rayuan mahkamah mengarahkan pembebasan Ozkan dan memulangkan pasportnya, menambah: “Pendakwaan kekal namun saya fikir ia akan dibatalkan.”

Agensi berita Turki, Anadolu memetik Ozkan sebagai berkata sejurus mendarat, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan kerana ‘membantu menyelesaikan kesnya.’

Mengulas keputusan pembebasan Ozkan, seorang pegawai Israel yang enggan dikenali berkata: “Ada beberapa faktor di sebalik keputusan ini, termasuk tempoh penahanan dan hakikat dakwaan itu tidak serius.”

Pegawai itu bagaimanapun enggan mengakui jika tekanan diplomatik Turki mungkin menjadi faktor.

Ozkan ditahan di Lapangan Terbang Ben Gurion Tel Aviv bulan lalu ketika cuba menaiki penerbangan pulang susulan lawatan ke sini. Beliau didakwa membantu menyeludup wang dan bungkusan kepada Hamas.

Peguamnya menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas dan berpotensi bermotif politik. -Reuters

Related Articles

Leave a Reply