Home SemasaGlobal Penyokong Perancis mengganas

Penyokong Perancis mengganas

by Noor Sheila Amin

PARIS, 16 Jul – Berpuluh-puluh remaja dilihat memecah masuk ke sebuah kedai popular di Champs Elysees semalam ketika ratusan ribu peminat meraikan kemenangan Perancis sebagai juara Piala Dunia 2018, lapor wartawan AFP yang berada di tempat kejadian.

Dianggarkan 30 orang, kebanyakannya memakai topeng ski dilihat memecah masuk ke Publicis Drugstore dan kemudian keluar bersama botol minuman keras, sambil tersenyum dan merakam aksi masing-masing menggunakan telefon mudah alih.

Sebahagian mereka turut melempar objek termasuk botol dan kerusi ke arah polis yang bertindak balas menggunakan gas pemedih mata.

“Itu bukan cara anda meraikan kemenangan,” kata seorang saksi yang memakai jersi pasukan Perancis.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa berkata rusuhan tercetus di antara polis dan kira-kira 100 remaja yang memanjat kenderaan polis di sebuah kawasan terbuka yang menyiarkan siaran langsung perlawanan itu di bandar selatan Lyon.

Polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kumpulan terbabit yang membalas dengan melempar objek dan membakar tong sampah sekali gus mencetus rempuhan.

10 orang ditahan di Marseille, apabila dua anggota keselamatan cedera dalam satu rusuhan, kata jurucakap polis.

Di Frouard, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia enam tahun cedera teruk selepas dilanggar sebuah motosikal ketika meraikan kemenangan itu.

Perancis masih dalam keadaan berjaga-jaga berikutan rangkaian serangan pengganas sejak 2015, yang mendorong kerajaan untuk memberi lebih kuasa kepada pihak polis di bawah undang-undang anti-keganasan baru yang digubal tahun lalu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!