KUALA LUMPUR,13 Jul – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, membuat lawatan ke hospital medan di daerah Ukhiya, Chittagong di sini, semalam.
Lawatan itu adalah anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama pasukan sukarelawan Amal Relief Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, lawatan sehari itu adalah bagi meninjau operasi hospital berkenaan, di samping menghantar keperluan kepada etnik Rohingya yang mendapatkan perlindungan di kem pelarian itu.
“Beliau disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh, Nur Ashikin Mohd Taib, sebelum melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Sheikh Hasina Wazed, di Old Sangsad Bhaban, Tejgaon, Dhaka.
“Mohamad kemudian ke Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar dan dibawa meninjau penempatan kem pelarian berkenaan,” katanya.
Mohamad turut menyampaikan bantuan hasil sumbangan rakyat Malaysia menerusi beberapa NGO di Malaysia kepada pelarian Rohingya di Pusat Komuniti Balukhali Extension.
“Beliau menunaikan solat dan beramah mesra dengan penduduk tempatan di Masjid Jamek Khatamulnabi berhampiran lokasi HMM.
“Selepas hampir lima bulan beroperasi, pasukan Operasi STARLIGHT-1 sudah merawat 17,849 pesakit membabitkan pelarian Rohingya dan sebilangan rakyat tempatan Bangladesh, manakala 600 pembedahan berjaya dilakukan di hospital itu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut, operasi HMM bertujuan menzahirkan hasrat kerajaan Malaysia memberi bantuan kemanusiaan, terutama khususnya kepada pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh.
“Operasi dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Bangladesh dan Angkatan Tentera Bangladesh (ATB) dengan dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia serta sukarelawan Malaysia,” katanya.