Home Semasa Semua 12 remaja, jurulatih diselamatkan dari gua

Semua 12 remaja, jurulatih diselamatkan dari gua

by Nurulhuda

MAE SAI, Thailand, 11 Jul –  Unit SEAL Tentera Laut Thailand mengesahkan kesemua 12 remaja pasukan bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam sebuah gua di Thailand lebih dua minggu lalu berjaya diselamatkan dalam misi menyelamat luar biasa yang menarik perhatian dunia.

Penyelam unit SEAL dan elit luar negara membawa keluar kumpulan terakhir empat remaja termasuk jurulatih mereka, petang semalam menerusi laluan berbahaya yang memaksa mereka mengecilkan tubuh untuk melepasi laluan sempit dan dipenuhi air.

“Semua 12 remaja pasukan ‘Wild Boars’ dan jurulatih mereka berjaya dibawa keluar daripada gua dan mereka selamat,” kata unit SEAL menerusi laman Facebook.

Unit itu turut menambah perkataan ‘Hooyah’ sebagai meraikan kejayaan menyelamatkan semua remaja terbabit dalam tempoh dua hari.

Semua 12 remaja berumur antara 11 hingga 16 tahun bersama jurulatih mereka, meneroka ke dalam Gua Tham Luang di kawasan pergunungan di utara Thailand pada 23 Jun lalu.

Semua 12 remaja berumur antara 11 hingga 16 tahun bersama jurulatih mereka, meneroka ke dalam Gua Tham Luang di kawasan pergunungan di utara Thailand pada 23 Jun lalu selepas menjalani latihan bola sepak.

Mereka berada di dalam gua selepas hujan lebat hingga menyebabkan paras air naik dan menyebabkan mereka terperangkap di tebing berlumpur yang dikelilingi air.

Mereka terperangkap di dalam gua yang gelap selama sembilan hari sebelum dijumpai dua penyelam Britain, dalam keadaan takut tetapi mampu tersenyum kepada dua penyelam itu untuk membuktikan semangat mereka kuat.

Bagaimanapun, kegembiraan awal susulan penemuan mereka seakan pudar apabila pihak berkuasa berusaha mencari jalan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap kira-kira empat kilometer jauh ke dalam gua dan terowong yang menjadi laluan ke arah mereka dipenuhi dengan air.

Pihak berkuasa pernah buntu seketika mencari jalan untuk menyelamatkan mereka hingga terpaksa memilih menggerudi lubang di kawasan gunung atau terpaksa menunggu musim monsun berakhir supaya mereka boleh berjalan keluar.

Keadaan itu menyebabkan ketua penyelamat pada satu ketika mengatakan usaha untuk menyelamat mereka adalah ‘misi mustahil’.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!