Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM rancang lahirkan atlet pelapis sukan perahu layar

TLDM rancang lahirkan atlet pelapis sukan perahu layar

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 10 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar merancang untuk bekerjasama dengan kelab pelayaran di Sabah dalam usaha melahirkan atlet pelapis sukan perahu layar.

Panglima Logistik Timur Laksamana Pertama, Ir Ow Kiat Bin berkata untuk itu pihaknya sedang mengusahakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Persatuan Pelayaran Sabah untuk berbincang lebih lanjut termasuk merancang aktiviti yang boleh dijalankan secara bersama.

“Pendedahan (ilmu pelayaran) kepada pelayar baharu ini penting kerana mereka yang telah berpengalaman akan bersara… oleh itu kita perlu mencari pelapis,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan ketibaan bot layar Utarid ke Armada Timur di Pangkalan TLDM, Sepanggar, di sini semalam.

Ow berkata, diharapkan dengan kerjasama itu akan dapat menggalakkan lebih ramai anak muda menyertai sukan tersebut.
Terdahulu, beliau menerima ketibaan bot itu yang telah belayar selama 15 hari sejak 25 Jun lalu dari Armada Barat Lumut, Perak dan tiba di Pangkalan TLDM di sini Jumaat lalu.

Bot itu pernah menyertai pertandingan Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo pada 2012 diletakkan di Pangkalan TLDM Sepanggar dalam usaha memperkasa aktiviti sukan perahu layar.

Menurut Ow, TLDM Armada Timur komited dalam membangunkan sukan perahu layar di Sabah terutamanya menerusi kelab perahu layarnya di Pangkalan TLDM Sepanggar, Tanjung Aru, Tawau dan Sandakan.

Sementara itu, Ketua Bot Utarid Lt Komander Mohd Hamdan Mohd Shamsuddin berkata pelayaran bersama 15 kru tersebut turut disertai anggota tentera dari Kem Lok kawi, Kelab Perahu Layar Kota Kinabalu, KD Pelandok Lumut dan Kapal Layar Diraja Tunas Samudera.

Beliau berkata bot yang dibina di Melaka dan diberi nama DK 47 seberat lapan tan itu mampu bertahan dalam keadaan laut bergelora.

Malah, katanya kemampuan bot itu diuji pada Jumaat lalu apabila mereka terpaksa mengharungi ribut ketika tiba di perairan Pulau Gaya di sini. — Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!