Home Semasa Nawawi letak jawatan Pengerusi KTMB

Nawawi letak jawatan Pengerusi KTMB

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Jul –  Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Nawawi Ahmad, mengumumkan akan meletakkan jawatan pada penghujung bulan ini bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui KTMB.

Katanya, beliau percaya menerusi kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, KTMB akan terus menjadi pilihan rakyat sebagai penyedia perkhidmatan kereta api terbaik.

“Pada zaman Dr Mahathir dulu, beliaulah yang menjadi pencetus utama kepada landasan berkembar yang dizahirkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Justeru, saya berpendapat beliau akan turut memberi perhatian tinggi dan meneruskan sumbangan demi pembangunan kereta api terutama KTMB dan jajaran lain yang wujud,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri KTMB di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB, Rani Hisham Samsuddin.

Kata Nawawi, tindakan beliau itu selari dengan dengan perubahan kerajaan baharu memandangkan perlantikan beliau oleh parti politik.

“Walau tidak menjadi sebahagian daripada KTMB lagi, saya gembira kerana sudah banyak perubahan positif dilakukan dan berharap CEO baharu mampu membawa KTMB ke peringkat yang membanggakan.

“Siapa pun bakal pengerusi baharu nanti, saya berharap beliau dapat mengikut transformasi yang sudah dilakukan sejak 2014 lagi dan bekerjasama dengan lebih daripada 6,000 kakitangan KTMB,” katanya.

Nawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi memegang jawatan berkenaan pada Februari 2014 dan bakal berakhir pada Februari 2020, namun atas perubahan kerajaan baharu, beliau melepaskan jawatannya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!