KUALA LUMPUR, 9 Jul – Operasi di perbatasan sempadan negara melibatkan anggota Tentera Darat sewaktu tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri memperlihatkan kejayaan dengan banyak tangkapan dan rampasan dibuat.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata, semakan laporan harian operasi di kawasan berkenaan mendapati banyak pendatang asing tanpa izin terutama warga Bangladesh yang ditangkap sepanjang operasi dijalankan.
Beliau berkata, operasi turut melakukan rampasan pelbagai barangan penyeludupan yang cuba dibawa keluar dan masuk di negara ini.
“Saya melawat dan terbukti anggota yang bertugas di sempadan-sempadan negara sentiasa waspada walaupun sebelum dan ketika musim perayaan,” katanya tanpa menyatakan statistik tangkapan dan rampasan yang berjaya dilakukan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kem Wardieburn, Setapak di sini semalam.
“Operasi yang dijalankan anggota dan pegawai tentera darat di perbatasan berjalan dengan lancar dan terkawal setakat ini,” katanya.
Zulkiple berkata anggota Tentera Darat yang terlibat dengan operasi di luar negara seperti pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan dan Mindanao, Filipina juga menjalankan tanggungjawab dengan baik dan terkawal.
Terdahulu, majlis hari raya Aidilfitri anjuran Tentera Darat itu disambut meriah dengan kehadiran lebih 6,000 anggota dan keluarga.
Hadir pada majlis itu adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan isteri Puan Sri Rusnah Abdul Rahman.
Pada majlis itu, Tentera Darat turut meraikan dan menyumbangkan duit raya kepada lebih 100 anak-anak Sekolah Tahfiz Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) dari Kem Perdana Sungai Besi.