KUALA LUMPUR, 8 Jul – Penyertaan anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2018 di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat bermula 27 Jun lepas bukan satu pembaziran, kata Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Beliau sebaliknya berkata penyertaan kali pertama kapal KD Lekiu itu mampu menguji ketahanan dan kesiapsiagaan aset pasukannya pada eksesais maritim terbesar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat di Hawaii sejak 1971.
“Perjalanan KD Lekiu ke Hawaii dengan jarak lebih 11,000 kilometer mengambil masa 33 hari jelas membuktikan aset TLDM diselenggara dengan baik walaupun sudah berusia, dan sentiasa berdaya saing setaraf pasukan tentera laut negara asing,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TLDM di sini hari ini.
Beliau berkata anggota dan pegawai TLDM turut memperoleh manfaat apabila berpeluang menjalani latihan bersama pasukan pelbagai negara dalam usaha memperkasa strategi ketenteraan dan menambah ilmu dari pelbagai aspek.
“Manfaat yang diperoleh daripada penyertaan TLDM begitu berharga,” katanya sambil menambah TLDM telah memenangi satu kategori pertandingan inovasi pada RIMPAC 2018 selain menerima beberapa penghargaan lain.
Seramai 150 pegawai dan anggota KD Lekiu mula belayar ke Hawaii pada 25 Mei lalu untuk menyertai eksesais itu bermula 27 Jun hingga 2 Ogos. Ia melibatkan 27 negara termasuk Kanada, Australia, Vietnam dan tuan rumah Amerika Syarikat.
Ia menyaksikan kehadiran 52 kapal, lima kapal selam, 29 pesawat rondaan maritim, 200 pesawat pejuang dan helikopter dengan penyertaan lebih 25,000 anggota.