KUALA LUMPUR, 8 Jul – Kekecewaan yang terpaksa dilalui oleh Pahang dalam aksi final Piala FA tahun lalu akhirnya terubat apabila skuad Tok Gajah berjaya merangkul kejohanan tersebut setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Tahun lalu skuad Tok Gajah terlepas peluang untuk menjuarai Piala FA selepas tewas 3-2 kepada Kedah. Ia merupakan kejuaraan buat kali ketiga Pahang setelah kali pertama memenanginya pada tahun 2006 dan dua tahun lalu.
Pastinya kejayaan tersebut memberi kepuasaan kepada Tok Gajah kerana terpaksa mengharungi dua perlawanan sukar ketika menyingkirkan juara bertahan, Kedah di pusingan ketiga disusuli kemenangan ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir.
Pahang mendominasi sebahagian besar corak permainan apabila mengasak kubu Red Giants dari arah kiri dan kanan sehingga berjaya menembusi gawang lawan hasil rembatan Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23 selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha.
Bersambung babak kedua, Pahang dihadiahkan penalti pada minit ke-61 selepas pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz menjatuhkan Agustine Iwuji sebelum Patrick Cruz tenang menyempurnakannya.
Sementara itu, keadaan sebaliknya berbeza untuk Selangor di mana tempoh penantian mereka untuk memenangi Piala FA terpaksa dilanjutkan.
Red Giants turut terlepas peluang untuk beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia musim depan. Kali terakhir Selangor memenangi Piala FA pada 2009.
Bagaimanapun, kemeriahan perlawanan final Piala FA pada tahun ini agak suram kerana banyak tempat duduk kosong kelihatan di stadium, malah satu jam sebelum sepak mula keadaan trafik tidak begitu sesak seperti lazimnya.
Jumlah keseluruhan penonton yang hadir kira-kira 43,000 orang dan ia berkemungkinan berlaku kerana Piala Dunia di Rusia sedang berlangsung.