Home Semasa Anggota tentera perlu bantuan kos pembedahan anak sakit hati kronik

Anggota tentera perlu bantuan kos pembedahan anak sakit hati kronik

by Pasri Asyraf

ALOR GAJAH, 4 Jul – Seorang bayi berusia lima bulan yang menghidap penyakit hati kronik (biliary atresia), memerlukan bantuan bagi menampung kos pembedahan dianggarkan mencecah RM250,000.

Maslina Abdul Jabbar, 31, berkata keadaan bayinya, Nurul Jalwa Nor Fazizal, kini semakin kritikal dan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China secepat mungkin.

Beliau berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak berusia 69 hari.

“Sebelum ini, laporan kesihatan Hospital Melaka mendapati saluran hempedu Nurul Jalwa sempit dan doktor perlu membuangnya.

“Pada 30 April lalu, bayi saya itu menjalani pembedahan Kasai di Hospital Kuala Lumpur. Selepas itu, keadaan Nurul Jalwa stabil tetapi pada 30 Mei lalu, tidak dapat membuang air besar, air kecil dan angin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Berikutan itu, Maslina berkata, pembedahan bagi meleraikan usus Nurul Jalwa yang melekat pada hati membengkak, dilakukan pada 19 Jun lalu untuk membolehkannya membuang air besar, air kecil dan angin.

Katanya, beliau bersama suami, Nor Fazizal Md Nor, 37, kemudian merujuk Pusat Perubatan Universiti Malaya dan bayi mereka itu dinasihatkan supaya menjalani pembedahan pemindahan hati di China secepat mungkin.

“Namun, kami menghadapi kekangan kewangan dan tidak mampu menanggung kos terbabit. Walaupun suami berkhidmat sebagai anggota tentera, kedudukan kewangan kami masih tidak mencukupi,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 04106-29-00038527-1 atas nama Maslina Abd Jabbar atau menghubunginya di talian 017-628 8946.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Hasmorni Tamby, pula berkata penderitaan Nurul Jalwa akan dibawa untuk perhatian pihak kerajaan negeri.

Beliau yang meluangkan masa mengunjungi rumah keluarga itu berkata, pihaknya amat bersimpati dengan bayi berkenaan yang terpaksa menanggung kesakitan akibat penyakitnya.

“Kita akan usahakan sesuatu pada peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN). Malah, saya juga akan cuba mengetengahkan masalah ini kepada kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi meringankan beban keluarga bayi terbabit yang perlu berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk tujuan perubatannya dan menampung kos rawatan di China.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!