Home Politik Ketua Srikandi PKR tarik diri

Ketua Srikandi PKR tarik diri

by Noor Sheila Amin

IPOH, 3 Jul – Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail hari ini mengesahkan menarik diri sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selepas dicalonkan oleh PKR kerana DAP bertegas mahukan jawatan itu.

Jawatan itu akhirnya dimenangi Ahli Parlimen Beruas yang juga Penasihat DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham pada Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang DUN Ke-14 bagi pemilihan Speaker dan angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini pagi tadi.

Siti Aishah melalui kenyataan media rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi mengesahkan hadir ke pejabat Setiausaha DUN pagi tadi bagi tujuan menandatangani surat penarikan diri daripada pencalonan berkenaan.

“Saya mengambil maklum berkaitan status Facebook (FB) saya yang viral sejak pagi tadi di kalangan pengguna media sosial.

“Saya mengesahkan bahawa saya telah dicalonkan oleh Keadilan (PKR) untuk menjadi salah satu calon bagi kerusi Tuan Yang Dipertua DUN Perak bagi sesi penggal ke-14 yang selamat disempurnakan pagi ini.

“Saya juga turut mengesahkan telah hadir ke pejabat Setiausaha Dewan Negeri bagi tujuan menandatangani surat penarikan diri saya dari pencalonan itu.

“Keputusan awal untuk menerima pencalonan ini dibuat atas kefahaman bahawa ruang itu harus diberikan kepada PKR memandangkan DAP telah mempunyai lima jawatan EXCO kerajaan negeri, perundingan berlaku hingga ke hari akhir malam semalam (tadi) yang mana akhirnya saya membuat keputusan berat hati ini (tarik diri).

“Sebagai pemimpin muda dalam PKR, telah menjadi asas pembelajaran politik kami bahawa jawatan dan kuasa bukanlah sandaran utama jika rakyat terpaksa menjadi galang gantinya.

“Atas sebab itu bagi memastikan kerajaan ini yang telah dipilih oleh rakyat terus berkhidmat dan berjalan seperti biasa maka saya mengambil keputusan untuk akur dan menarik diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siti Aishah sebelum itu, melalui statusnya yang dipaparkan dalam laman FB miliknya turut berkongsi nukilan rasa kecewanya berikutan terpaksa menarik diri sebagai calon Speaker DUN dengan memberi bayangan berlaku desakan daripada parti tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) negeri untuk beliau menarik diri.

Siti Aishah berkata, tindakan menarik diri itu juga dibuat bagi memastikan undi dewan secara total diberikan kepada hanya satu calon dari PH dan bagi mengelakkan calon dari Barisan Nasional (BN) menjadi Speaker.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana rakyat Perak adalah tuan dan sebagai tuan kepada kerajaan negeri, dan jika namanya tetap dicalonkan maka peluang untuk BN menjadi Speaker dan menggugat kerajaan PH boleh berlaku.

“Jujurnya teguran saya di laman FB ialah teguran terbuka untuk kepimpinan agar budaya semangat berpasukan harus benar-benar dilaksanakan dan budaya monopoli kuasa harus tidak lagi diamalkan dalam PH dan sewajarnya rasa hormat kepada pimpinan yang lain dipraktikkan.

“Terima kasih atas doa dan sokongan semua, semoga apa yang berlaku akan memberikan suntikan baharu kepada kepimpinan PH dalam membudayakan sesuatu yang lebih baik buat semua,” katanya mengakhiri kenyataan itu.

Pada sidang DUN hari ini, Koo Ham dipilih sebagai Speaker melalui pengundian mengatasi dua calon lain iaitu bekas Timbalan Speaker DUN, Datuk Nasaruddin Hashim dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Misbahul Munir Masduki.

Wakil rakyat DAP itu memperolehi 31 undi mengatasi Nasaruddin yang mendapat 25 undi manakala Misbahul Munir (tiga undi).

Sementara itu, ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak.

Terdahulu, persidangan berkenaan kecoh kira-kira 30 minit selepas Setiausaha DUN, Kamarulariffin Ayub, mengumumkan terdapat tiga nama dicalonkan sebagai Speaker DUN.

Pembangkang mempersoalkan pengumuman itu dengan Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) mendakwa ada empat nama yang dicalonkan.

Penyokong kerajaan membantah dakwaan itu mengakibatkan berlaku pertikaman lidah antara ADUN kerajaan dan pembangkang, sebelum kekecohan itu berakhir.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!