NIZHNY NOVGOROD, Russia, 2 Jul – Croatia bangkit daripada ketinggalan seawal minit pertama untuk menundukkan Denmark 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti apabila terikat 1-1 selepas masa tambahan sekali gus mara ke suku akhir Piala Dunia.
Mereka sepatutnya sudah boleh mengesahkan kemenangan ketika masa tambahan berbaki lima minit namun penalti Luka Modric berjaya diselamatkan penjaga gol Kasper Schmeichel.
Namun, kapten Croatia itu berjaya menyempurnakan tugasnya ketika sepakan penalti penentuan yang menyaksikan penjaga gol Croatia, Danijel Subasic menyelamatkan tiga sepakan penalti untuk bertemu Russia pada suku akhir, Sabtu ini.
Hantaran Modric berjaya menemui Ante Rebic namun dia dijatuhkan Mathias Jorgensen untuk membuka peluang kepada Croatia meraih kemenangan namun Schmeichel memastikan perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti selepas bijak merebahkan badan untuk menyelamatkan sepakan Modric.
Dua gol awal terhasil pada perlawanan itu sekali gus memberi petanda aksi akan bertambah rancak namun kedua-dua pasukan memperaga corak permainan berhati-hati sekali gus keputusan kekal 1-1 hingga 120 minit perlawanan.
Jorgensen hanya memerlukan 57 saat untuk menembusi benteng Croatia selepas hantaran ke dalam oleh Jonas Knudsen yang disudahkan menerusi penyudah kaki kiri.
Namun, Mario Mandzukic memastikan Croatia tidak ketinggalan terlalu lama apabila menyamakan kedudukan pada minit keempat.
Usaha Henrik Dalsgaard yang cuba mengeluarkan bola terkena rakan sepasukannya, Andreas Christensen yang menyebabkan bola mudah tiba kepada Mandzukic yang disudahkannya dari jarak dekat untuk gol penyamaan. – Reuters