NEW DELHI, 1 Julai – Media India melaporkan kira-kira hampir 14 orang telah maut semenjak dua bulan lalu akibat penyebaran berita palsu. Angka tersebut dapat dilihat selepas beberapa siri kejadian pembunuhan orang awam yang menjadi sasaran penyebaran berita palsu di India.
Pendedahan oleh The Hindustani Times turut menyebut kira-kira 6 orang maut untuk tempoh Mei-Jun apabila mangsa diserang oleh penduduk tempatan yang mempercayai berita palsu yang tular melalui aplikasi media sosial dan SMS.
Pihak berkuasa di Tripura pula bertindak mengantung perkhidmatan internet dan SMS bagi mengekang ancaman berita palsu. Tindakan tersebut diambil pada akhir Jun lalu selepas 3 maut dalam beberapa kejadian berasingan.
Ketiga-tiga individu yang menjadi terbaru dalam siri serangan berita palsu yang menuduh kehadiran kumpulan penculik organ kanak-kanak di wilayah timur laut India.
Serangan terbabit tercetus selepas tersebarnya mesej di aplikasi Whatsapp yang menyatakan ahli kumpulan penculik dan sindiket pemerdagangan organ sedang berkeliaran.
Salah seorang mangsa adalah pegawai kerajaan yang diberikan tugas khas untuk melaksanakan Kempen Kesedaran Berita Palsu.
Sukata Chakraborty dilaporkan maut selepas penduduk tempatan bertindak menyerang beliau dengan kayu dan batu-bata selama sejam. Pemandu beliau yang berada di tempat kejadian telah cedera parah. Sky News menyatakan pihak polis India masih cuba mengenalpasti punca serangan terbabit.
Beberapa jam sebelum kejadian emnimpa Sukata, beberapa serangan yang bermotifkan sama turut berlaku.
4 orang peniaga telah dikejar oleh ratusan penduduk tempatan selepas mereka dituduh sebagai pihak yang berkaitan dengan sindiket jenayah. Keempat-empat peniaga yang sedang menikmati hidangan teh bertindak cuba menyelamatkan diri dan berlindung di kem pasukan separa tentera yang terletak diberhampiran.
Namun begitu, penduduk tempatan bertindak menceroboh kem tersebut dan mengheret kesemua peniaga tersebut keluar. Pihak tentera bertindak melepaskan tembakan amaran bagi meleraikan rusuhan. Salah seorang anggota tentera dilaporkan cedera parah dalam kejadian tersebut.
Dalam perkembangan lain, seorang wanita di kawasan yang sama telah maut apabila diserang oleh penduduk tempatan. Mangsa yang berusia 40-an itu diheret oleh penduduk tempatan yang bersorak.
Insiden sebegini merupakan sebahagian daripada kejadian yang berlaku di India akibat penyebaran berita palsu.
Pada 27 Jun, seorang wanita berusia 45 tahun telah maut dan beberapa orang cedera selepas penduduk bertindak balas terhadap mesej tular yang menyatakan penculik sedang berkeliaran di Gujarat. Mangsa dan 3 orang rakannya telah diserang oleh kira-kira 100 orang individu di Ahmedabad, Gujarat.
Di India, khabar angin yang tersebar melalui mesej tular seringkali berkisar dengan laporan kehadiran penculik dan penjual organ. Mesej tular tersebut telah menyebabkan penduduk tempatan menyerang sesiapa sahaja yang tidak dikenali dan seringkali menyebabkan kematian.