Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia komited banteras jenayah pemerdagangan orang

Malaysia komited banteras jenayah pemerdagangan orang

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Julai –  Kerajaan mengambil maklum Laporan Tahunan mengenai Pemerdagangan Orang (U.S. TIP Report) Tahun 2018 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat dan akan terus komited membanteras jenayah itu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata penilaian yang merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan yang dibuat terhadap 187 negara termasuk Malaysia telah meletakkan negara di Tahap 2 Pemerhatian bagi tahun 2018.

“Malaysia pernah menduduki Tahap 2 Pemerhatian sebanyak sembilan kali iaitu antara tahun 2006 hingga tahun 2018. Laporan tersebut menyatakan bahawa Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minima dalam penghapusan pemerdagangan orang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan memperkukuhkan usaha membanteras jenayah itu dengan mengambil langkah meningkatkan usaha pencegahan pemerdagangan orang melalui kerjasama erat dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri serta mempergiatkan tindakan bersepadu antara agensi.

Beliau berkata kementerian akan meneruskan penambahbaikan signifikan dalam dua aspek penting melibatkan perundangan buruh iaitu perlaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan yang telah bermula pada 1 Jan lepas.

Selain itu, katanya peningkatan penalti akan diperuntukkan melalui pindaan Akta Agensi Pekerjaan Swasta kepada agensi pekerjaan yang gagal mematuhi undang-undang buruh yang dikuatkuasakan.

“(Kerajaan) menimbang cadangan untuk meminda Akta Antipemerdaganan Orang dan Anti Penyeludupan 2007 yang memberi fokus kepada aspek perlindungan mangsa pemerdagangan orang dan pencegahan akan dipertimbangkan dengan meningkatkan hukuman yang dikenakan,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata pelaksanaan peraturan bagi kebenaran bergerak bebas dan bekerja bagi mangsa pemerdagangan orang akan ditambah baik selain pengurusan pekerja asing akan turut diteliti secara holistik bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja terutama pekerja asing dapat dilindungi.

Selain itu, beliau berkata Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui kementerian itu telah melaksanakan penambahbaikan berterusan ke atas usaha negara dalam membanteras pemerdagangan orang sebagaimana disyorkan oleh Amerikaq Syarikat pada penilaian tahun sebelumnya.

Menurutnya, penilaian itu boleh digunakan sebagai panduan dalam memperbaiki inisiatif negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang pada masa hadapan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!