SHAH ALAM, 1 Jul – Armada Bersatu akan memberi sokongan kepada sesiapa saja anak muda yang diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk dilantik sebagai menteri Kabinet.
Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, mereka tidak akan masuk campur urusan lantikan Kabinet melainkan tiada peluang langsung diberikan kepada anak muda mencorak masa depan negara.
Katanya, setakat ini Armada Bersatu mendapati pentadbiran kerajaan jelas mementingkan penglibatan anak muda dalam pentadbiran Malaysia baharu.
“Kami berpendirian untuk memberi ruang kepada pimpinan negara membuat pemilihan di antara pimpinan anak muda Pakatan Harapan berlandaskan merit dan kebolehan untuk diangkat menjadi menteri Kabinet,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, terdapat pemimpin muda Harapan melancarkan petisyen bagi menggesa Ketua Pemuda Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai menteri Kabinet.
Petisyen itu juga bagi memastikan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menjadi satu-satunya wakil Pemuda dalam Kabinet.
Ini berikutan nama Nik Nazmi tercicir dalam senarai Kabinet yang tular baru-baru ini, sementara nama Syed Saddiq dikatakan akan mengisi jawatan Menteri Belia dan Sukan.
Bagaimanapun, kesahihan senarai itu tidak dapat dipastikan sehingga upacara angkat sumpah berlangsung esok.
Dalam pada itu, Ulya Aqamah berkata, petisyen yang dikeluarkan bukan dari Armada Bersatu secara rasmi dan mereka tidak terlibat dalam menyediakan petisyen tersebut.
“Menyahut semangat keterbukaan Malaysia baharu, Armada Bersatu meraikan pendapat semua pihak. Setiap individu berhak menyatakan hasrat dan pilihan mereka.
“Semoga amalan demokrasi ini terus menjadi amalan baik bagi rakyat Malaysia,” katanya.