KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan Vietnam yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Kuala Terengganu, Komander Maritim Suffi Mohd Ramli berkata tiga bot tersebut ditahan antara jam 12 tengah hari dan 1 petang Khamis lalu di tiga lokasi berbeza iaitu antara 49 hingga 51 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
“Seperti biasa, mereka (nelayan Vietnam) akan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa tetapi mereka berjaya dihalang. Turut ditahan tekong dan 26 awak-awak yang berusia antara 18 hingga 55 tahun.
“Pemeriksaan mendapati hanya beberapa orang yang memiliki dokumen pengenalan diri tetapi kesahihannya masih diragui. Kesemua mereka akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita di Pejabat DM 9 Kuala Terengganu semalam.
Nilai rampasan termasuk hasil laut, bot, peralatan dan diesel dianggarkan berjumlah RM3 juta.