LANGKAWI, 1 Jul – Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 antara undang-undang yang sedang dikaji untuk dipinda atau dimansuhkan kerana banyak daripadanya yang menekan rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri itu berkata, kajian perlu dibuat berikutan banyak undang-undang yang digunakan untuk menyekat kebebasan rakyat oleh kerajaan terdahulu.
“Undang-undang dahulu banyak menekan…tidak memberi kebebasan bersuara, kebebasan akhbar dan kebebasan untuk bertindak.
“Kita kena pinda banyak undang-undang mengikut keperluanlah. Masa dulu undang-undang tidak berpihak kepada parti lawan…Macam-macamlah tapi kita (kerajaan) tak akan sekatlah parti lawan (Barisan Nasional). Mereka nak buat apa dia punya pasal,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di Kuah, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bahawa Akta MKN 2016 sedang dinilai kerana ia amat berguna tetapi perlu dikemaskini supaya tidak menjadi alat untuk memberi tekanan kepada pegawai untuk menyokong parti politik.
Tindakan terbabit dikatakan berlawanan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang pernah berjanji untuk menghapuskan akta terbabit pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sekiranya berjaya menawan Putrajaya.
Selepas PH berjaya membentuk kerajaan, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas seiring dengan manifesto mereka yang akan menghapuskan undang-undang yang dilihat menindas rakyat.
Antara akta yang akan dikaji adalah Anti-berita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta MKN 2016.