KOTA KINABALU, 28 Jun – Kerajaan negeri akan menghidupkan semula sistem perniagaan tukar barang (barter trade) antara negeri ini dan negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang dihentikan oleh kerajaan sebelum ini atas faktor keselamatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata sistem perniagaan itu akan diperkemaskan dengan memperkenalkan peraturan tertentu untuk memastikan ia berfungsi seperti dikehendaki tanpa melanggar undang-undang negara ini.
“Kita ada bincang perkara berkaitan barter trade di peringkat negeri Sabah, Filipina dan Indonesia. Saya telah meminta supaya perkara ini dibincangkan di peringkat Kabinet agar kita dapat menghidupkan semula sistem ini.
“Bagaimanapun, perlu ada sistem yang perlu kita perkenalkan. Sistem yang perlu kita sediakan ialah lokasi pendaratan (pedagang barter trade). Ada beberapa pusat pendaratan iaitu di Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet peringkat negeri di sini semalam.
Pada 3 Jun lalu, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata berkata Kementerian Kewangan Sabah akan mempertimbangkan semula pembukaan aktiviti tukar barang antara Tawau, Malaysia dengan Indonesia, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata.