Home Pertahanan dan Keselamatan Hormati pendirian Malaysia – Mat Sabu

Hormati pendirian Malaysia – Mat Sabu

by Noor Sheila Amin

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Kerajaan berharap negara kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) menghormati pendirian Malaysia bagi mengekalkan Laut China Selatan sebagai kawasan selamat dan aman untuk semua negara serantau.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Laut China Selatan adalah penting terhadap kestabilan dan ekonomi di rantau Asia Tenggara dan tidak mahu kehadiran kapal perang milik China dan AS menjadi ancaman.

Katanya, pendirian Malaysia ini adalah senada dengan negara Asia Tenggara lain yang berkongsi sempadan perairan Laut China Selatan dan mahukan keamanan di perairan itu.

“Kita memang mahukan keamanan di Laut China Selatan ini dikekalkan kerana ia sudah menjadi zon ekonomi kepada negara yang berkongsi sempadan perairan itu.

“Jadi, kita mahu negara seperti China dan AS untuk menghormati pendirian negara Asia Tenggara yang mahu perairan itu kekal sebagai kawasan selamat,” katanya dalam wawancara bersama kumpulan media tempatan dan antarabangsa di Wisma Pertahanan, hari ini.

Menurutnya, Malaysia tidak mahu kehadiran kapal perang berkenaan menjadi pencetus ketegangan di Laut China Selatan dan tidak mahu perairan itu menjadi lokasi pertandingan antara negara kuasa besar.

Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk terbabit dalam mana-mana perang dengan mana-mana negara dan pendirian Malaysia mengenai soal keselamatan Laut China Selatan sudah dinyatakan dalam dialog yang diadakan di Shangri-La, Singapura bulan lalu.

“Selain keutamaan soal keselamatan di Laut China Selatan, kerajaan juga memandang serius soal keselamatan di Selat Melaka yang menjadi antara laluan paling sibuk di dunia.

“Oleh kerana Selat Melaka menjadi antara laluan perkapalan yang sibuk, jadi kita mahu lebih banyak kapal peronda bagi mengawal keselamatan daripada sebarang ancaman termasuk kegiatan lanun,” katanya.

Mohamad berkata, soal keselamatan negara tidak boleh diambil mudah dan kementeriannya bercadang untuk meningkatkan perolehan aset ketenteraan menerusi bajet negara tahun hadapan.

“Kita tidak mahu ambil mudah soal keselamatan negara dan kerana itu, dalam bajet tahun hadapan, kita bercadang untuk membentangkan antara keperluan diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ini termasuklah keperluan untuk memiliki beberapa pesawat udara yang kita rasakan perlu bagi memudahkan mengawal dan memantau keselamatan negara,” katanya.

Selain itu, ditanya adakah kerajaan bercadang untuk meningkat penyertaan bangsa lain dalam ATM, beliau berkata, buat masa ini, penyertaan mereka adalah menggalakkan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!