KUCHING, 27 Jun – Terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melebarkan sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpinnya ke negeri ini.
Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu malam kelmarin.
“Kalau Tun nak menyebarkannya itu keputusan parti dialah kerana kita pun ada parti (komponen PH) yang lain ada sayap di sini.
“Tetapi dari sudut Sarawak sendiri memanglah kita akan bekerjasama dalam konteks parti-parti Sarawak,” katanya.
Ditanya sama ada perkara tersebut ada disebut pada pertemuan khas Aidilfitri bersama Dr Mahathir Ahad lepas, Abang Johari yang juga pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan, perkara tersebut tidak dibincangkan.
“Kita hanya meraikan hari raya, bercakap tentang makanan (juadah raya),” tambahnya sambil diakui oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Malah, Abang Johari berkata pihaknya masih belum mengetahui butiran sebenar tentang perkara tersebut.
“Kita tidak tahu lagi, butiran tentang perkara ini tidak ada, mungkin tersalah ‘quote’, kita tidak tahu,” katanya.
Pada sidang medianya kelmarin, Dr Mahathir membayangkan akan mewujudkan cawangan PBPM di Sarawak, tetapi tidak di Sabah, kerana Parti Warisan Sabah adalah sahabat.
Beberapa orang Ketua Menteri Sarawak sebelum ini dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak membuka ruang kepada UMNO untuk membuka cawangan di Bumi Kenyalang.