KUALA LUMPUR, 26 Jun – Panglima Angkatan Tentera yang baharu, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin memulakan tugas hari pertama di Kementerian Pertahanan di sini hari ini selepas dilantik bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Beliau yang tiba pada pukul 9 pagi memberi tabik hormat kepada kontinjen Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertahanan Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Ahmad Safuan Jaafar serta diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.
Seterusnya, beliau mengetik kad kehadiran di mesin perakam waktu kira-kira pukul 9.10 pagi sebelum melangkah masuk ke ruang pejabatnya bagi memulakan tugas pertamanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Halimi bin Abd Manaf, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut, Jeneral Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Terdahulu, Zulkifli yang merupakan bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menerima tugas dan diberi kepercayaan untuk memulakan tugas tersebut pada 20 Jun lalu.