Home Politik Amirudin angkat sumpah MB Selangor

Amirudin angkat sumpah MB Selangor

by Nurulhuda

KLANG, 20 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah di sini, pagi tadi.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Amirudin ,38, dilantik Menteri Besar Selangor selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Amirudin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi beberapa perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi sepanjang memegang jawatan itu.

Antara Aku Janji itu ialah menyimpan rahsia perbincangan bersama Sultan Selangor dengan pihak luar; menjunjung tinggi Rukun Negara; memelihara dan memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama lain; memelihara institusi raja daripada dicaci dan diganggu; memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain serta melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, selain memastikan kemakmuran negeri ini di tahap tertinggi.

Amirudin turut melafazkan untuk bersedia ditimpa bencana diturunkan Allah serta daulat Sultan Selangor jika melanggar sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Dalam istiadat sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Rodziah Ismail sebagai EXCO kerajaan negeri bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Amirudin.

Amirudin sebelum ini ialah EXCO Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!