RANTAU PANJANG, 17 Jun – Aspek kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diperkasakan seiring kestabilan ekonomi negara.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan lebih fokus dan merancang kebajikan tentera secara lebih baik dan efektif sebaik kedudukan ekonomi lebih stabil.
Katanya, kebajikan bukan saja mengambil kira aspek gaji, elaun dan kenaikan pangkat tetapi turut membabitkan latihan, pendidikan serta perumahan.
“Anggota ATM bersara pada awal usia 40-an, justeru kita perlu peka dengan kehidupan mereka selepas bersara memandangkan perwira negara kita ini sudah banyak berjasa dan berkorban demi tanah air.
“Kita juga perlu mengambil tahu kebajikan keluarga mereka yang menjadi tulang belakang dan pembakar semangat setiap anggota ATM yang bertugas.
“Kementerian akan terus memberi komitmen terbaik dalam aspek kebajikan ATM,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya Bersama warga Pasukan Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5RRD) di Pos To’o di sini, hari ini.
Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Ramli Jaafar dan Pemangku Panglima 8 Briged, Kolonel Noorul Azril Ariffin.
Mohamad turut memberi penghargaan kepada anggota yang bertugas terutama pasukan 5RRD yang menjaga keamanan dan keselamatan sempadan.
“Saya menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi berjasa kepada tanah air tercinta. Jika tiada penghargaan di dunia, saya percaya Tuhan akan membalas segala kebaikan mereka.
“Tidak terhitung pengorbanan mereka ini untuk mempertahankan keselamatan tidak kiralah ancaman besar mahupun kecil agar keamanan Malaysia terus terjamin,” katanya.