Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara ATM terus perkukuhkan kawalan sempadan negara

ATM terus perkukuhkan kawalan sempadan negara

by Nurulhuda

PADANG TERAP, 13 Jun – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 115 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM10,000 di Pos Batu 34, di sini, yang cuba diseludup ke negara jiran semalam.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum itu ditemui di dalam semak ketika rondaan pasukan empat Rejimen Sempadan (4RS) jam 9.45 pagi.

“Rondaan diketuai Koperal Nor Johari Ismail bersama tiga anggota menjumpai beberapa bungkusan plastik hitam dan guni putih di dalam semak.

“Kami yakin daun ketum itu ditinggalkan di kawasan semak sebelum diseludup oleh individu lain ke negara jiran.

“Permintaan dan harga yang tinggi di negara jiran menyebabkan kegiatan terbabit terus aktif dan bagi memastikan kegiatan itu dikekang, pasukan keselamatan perlu sentiasa membuat pemantauan dan menjalankan tugas sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini,” katanya dalam kenyataannya.

Abdul Aziz berkata, rampasan terbabit adalah yang kedua berjaya dilakukan pasukan 4RS sepanjang mengambil alih operasi dua minggu lalu.

“Rampasan pertama dilakukan pada 7 Jun lalu di kawasan yang sama membabitkan 66 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai hampir RM6,000.

“Daun ketum yang dirampas kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!