PARIS, 12 Jun – Turki telah mempamerkan hasil program Kenderaan Pemusnah Kereta Kebal atau Anti-Tank Vehicle (ATV) untuk kegunaan Tentera Turki. Pada ketika ini, program tersebut sedang berjalan dan mencapai fasa di mana kenderaan prototaip tersebut akan diuji sebelum dimasukkan ke dalam perkhidmatan.
Kenderaan ini menggunakan casis PARS 4×4. PARS ATV 4×4 ARCT akan menjalani ujian pada bulan Mei dan projek ini dijangka akan siap pada tahun 2021.
Sistem persenjataan utama kenderaan ini adalah pada bahagian turet yang dikawal secara jarak jauh, Anti-Tank Remote Controlled Turret (ARCT). ARCT mampu untuk menampung 2 pelancar peluru berpandu anti kereta kebal pada satu-satu masa.
Mesingan 7.62mm digunakan sebagai senjata sokongan dan perlindungan diri. Apa yang menariknya mengenai ARCT ini adalah ianya mampu untuk menerima sistem peluru berpandu anti kereta kebal yang pelbagai.
Turet ini mampu untuk menampung penembakan Kornet dan Mizrak.
ARCT dilengkapi dengan sistem kawalan digital. Selain daripada itu, penembakan, pembuangan katrij dan pemasangan semula dapat dilakukan dari dalam kenderaan secara automatik.
Walaupun direka khusus untuk keperluan Tentera Darat Turki, FNSS yakin PARS ATV 4×4 ARCT ini mempunyai potensi eksport.
Dalam program ini, Turki akan menerima 260 buah kenderaan yang terdiri daripada 76 PARS ATV 4×4 ARCT dan sebuah KAPLAN-ATV.
Sementara varian ATV beroda dipamerkan, varian berunut pula akan dipamerkan kepada umum pada tahun 2019.
Turki akan mula menerima kenderaan tersebut pada tahun 2019 sehingga 2021.
PARS ATV 4×4 ARCT disesuaikan untuk operasi meninjau dan mempunyai kelajuan maksimum 110 kilometer sejam. Dikatakan, PARS ATV 4×4 ARCT mempunyai keupayaan operasi amfibi.