Home Politik ‘UMNO rosak jika Najib jadi MB Pahang’ – Syed Saddiq

‘UMNO rosak jika Najib jadi MB Pahang’ – Syed Saddiq

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Jun –  Pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Besar Pahang akan merosakkan UMNO, kata Syed Saddiq.

“Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merosakkan UMNO jika beliau berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Pahang semula,” kata Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam temu bual dengan New Straits Times Press, Syed Saddiq menegaskan tidak masuk akal jika Najib yang terpalit dengan beberapa siasatan jenayah berhasrat berbuat demikian.

“Ini satu langkah ‘mengerikan’ jika ada cadangan Najib yang kini sedang dalam siasatan dipilih menjadi Menteri Besar Pahang.

“Jika saya mahu menjadi kerajaan yang tidak bertanggungjawab yang mahu membunuh pembangkang, saya akan mengatakan ‘Alhamdulillah, saya menyokong langkah itu 100 peratus’ kerana kemunculan Najib akan membunuh UMNO, “katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas pendapat seorang individu yang mencadangkan jawatan tersebut dalam satu catatan di sebuah blog baru-baru ini yang mana, dia menyuarakan hasrat untuk melihat Najib sebagai Menteri Besar Pahang.

Penulis berkenaan juga meminta, Datin Seri Rosmah Mansor supaya ‘berehat’ daripada terus mengekori perjalanan politik suaminya agar tidak lagi menjadi buah mulut dan tomahan masyarakat.

Walaupun mereka mempunyai perbezaan pandangan politik, Syed Saddiq berkata, beliau lebih suka melihat Umno menjadi pembangkang yang kuat sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kerajaan yang ada sekarang ini.

“Dengan cara ini kita dapat memastikan masa depan rakyat Malaysia terpelihara kerana kita mempunyai demokrasi dalam pelbagai parti.

“Jika kita mahu melihat UMNO kembali kuat dan bertindak sebagai pembangkang yang teguh, maka Najib tidak boleh menjadi ketua pasukan,” katanya.

Najib pernah menjadi Menteri Besar Pahang ke-12 dari Mei 1982 sehingga Ogos 1986.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!