Home Politik Sri Ram dakwa Daim desak Raus, Zulkefli letak jawatan hakim

Sri Ram dakwa Daim desak Raus, Zulkefli letak jawatan hakim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin didakwa mendesak Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin meletakkan jawatan masing-masing.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mendakwa ia sebagai “rahsia umum” yang terjadi ketika pertemuan di pejabat Daim.

Sri Ram berkata Daim tidak sepatutnya menuntut peletakan jawatan Raus dan Zulkefli, sambil menjelaskan ia melanggar perlembagaan bagi sesiapa selain perdana menteri untuk membuat tuntutan berkenaan.

“Walaupun ini mungkin didorong oleh niat yang terbaik, apa yang berlaku adalah sangat salah.

“Daim bukan perdana menteri dan walaupun perdana menteri telah meminta beliau untuk melakukan apa yang beliau lakukan, beliau sepatutnya menolak dan meninggalkannya kepada peguam negara, perdana menteri dan kabinet untuk mengendalikan perkara ini.

“Lagipun, kami tidak mahu kembali ke zaman dahulu apabila tiada penghormatan terhadap pemisahan kuasa dan kepatuhan kepada peruntukan perlembagaan,” katanya lagi.

Peguam kanan itu berkata keadaan bertambah buruk, apabila Raus dan Zulkefli “menyetujui” jemputan bertemu Daim.

Kedudukan semasa Raus dan Zulkefli sebagai ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan menjadi kontroversi kerana mereka telah dilanjutkan tugasnya melangkaui umur persaraan wajib untuk hakim persekutuan dan cara penyambungannya juga dipersoalkan.

Sri Ram berkata jika kedua-duanya menolak pelanjutan jawatan mereka dahulu, mereka tidak sepatutnya mengalami “penghinaan” kerana dilayan “tidak lebih baik daripada budak suruhan pejabat.”

Oleh itu, beliau berkata kedua-duanya harus meletak jawatan sekali gus atau peguam negara perlu memberitahu mahkamah bahawa kerajaan tidak lagi menyokong pelantikan mereka sebagai menepati kehendak perlembagaan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!